PBTSELANGOR

Perpustakaan Anggerik Mokara tawar keahlian percuma sehingga 28 Februari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: Perpustakaan Anggerik Mokara di Jalan Utarid U5/9, Taman Mutiara Subang ,Seksyen U5, Shah Alam secara rasmi dibuka mulai 9 Januari lalu dengan tawaran keahlian percuma kepada orang ramai sehingga 28 Februari ini sebagai usaha membudayakan aktivti membaca dalam kalangan masyarakat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, keahlian perpustakaan ini akan memudahkan proses peminjaman buku dan pemakluman berkenaan aktiviti terbaru dapat disampaikan dengan mudah.

“Perpustakaan Anggerik Mokara ini adalah perpustakaan kedua selepas Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA yang terletak di Pejabat Cawangan Kota Kemuning MBSA, Seksyen 31 Kota Kemuning, Shah Alam yang dikendalikan sepenuhnya oleh MBSA.

“Penubuhan perpustakaan ini bertujuan memberikan kemudahan kepada penduduk di bandar raya Shah Alam khususnya golongan pelajar dan kanak-kanak dalam penyediaan sumber ilmu serta bahan bacaan, sekaligus menggalakkan mereka untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu budaya.

“Selain itu, kewujudan perpustakaan ini juga adalah untuk menyediakan pelbagai aktiviti dan program cuti sekolah yang bermanfaat untuk memenuhi masa lapang mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai buku-buku tempatan dan luar negara juga disediakan sebagai bahan bacaan dan rujukan pelbagai peringkat umur kepada pengunjung malahan sehingga kini terdapat lebih dari 1,000 buku atau jilid untuk bacaan dan rujukan selain masih dalam proses penambahan buku bacaan dari semasa ke semasa.

Beberapa kemudahan lain turut disediakan bagi memberikan keselesaan dan kesenangan kepada pengunjung antaranya ruang bacaan/santai, berhawa dingin, sudut komputer, surau dan wifi selain buai pangkin bagi memberikan suasana dalam taman kepada pengunjung yang ingin membaca dikelilingi suasana hijau.

Perpustakaan Anggerik Mokara beroperasi pada Selasa sehingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 5 petang (tutup pada jam 1 petang – 2 petang) dan 9 pagi hingga 5 petang pada Jumaat (tutup pada jam 12.15 tengah hari sehingga 2.45 petang).

Ia juga dibuka pada Sabtu setiap minggu kedua dan keempat pada jam 10 pagi hingga 4 petang. Perpustakaan ini ditutup pada setiap Isnin, Sabtu minggu pertama dan ketiga, Ahad serta cuti umum.


Pengarang :