GLOBALNASIONAL

Pesawat TUDM sedia ke Sudan bawa pulang 105 pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menerbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sudan bagi membawa pulang 105 penuntut Malaysia yang terkandas ekoran pergolakan, di negara itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, ATM sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum membawa pulang penuntut terbabit.

“Buat masa ini, mereka diarahkan berehat di rumah di sana dan pihak kedutaan sedang memantau status mereka. ATM akan menunggu perkembangan terbaharu serta bersedia,” katanya selepas selesai majlis Amanat Panglima ATM kepada warga ATM di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini lapor BERNAMA.

Gambar: BERNAMA

Semalam, Kedutaan Malaysia di Sudan menasihati semua pelajar Malaysia supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka seperti dataran dan kawasan pasar.

Antara lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi dan harus dielak oleh rakyat Malaysia ialah Souq Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Atbara dan al-Gadari.

Pegawai Konsular Kedutaan Malaysia di Khartoum dilaporkan berkata, secara relatif situasi di Sudan stabil dan terkawal selepas beberapa demonstrasi di Khartoum serta beberapa perbandaran lain, sejak 19 Disember lalu.

Katanya, beberapa siri demonstrasi berlaku susulan tunjuk perasaan di Atbara iaitu sebuah negeri di Sungai Nil yang terletak kira-kira 348 kilometer dari Khartoum pada 19 Disember lalu dengan orang ramai turun ke jalanan untuk membantah situasi ekonomi teruk yang menyaksikan bekalan roti berkurangan dan harga meningkat daripada satu paun Sudan kepada tiga paun.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang mula beroperasi pada Disember 2017 diteruskan seperti biasa tetapi bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan.

“Setakat ini, hospital itu mendapat pujian dan diiktiraf badan dunia yang memberi bantuan termasuk beberapa negara lain. Operasi hospital berkenaan diteruskan seperti biasa sehingga ATM menerima arahan selanjutnya,” katanya.


Pengarang :