GLOBALSUKANKINI

Piala FA: Morata, Fabregas bantu Chelsea mara

LONDON, 6 JAN: Alvaro Morata menjaringkan dua gol bagi membantu Chelsea menang 2 – 0 ke atas Nottingham Forest untuk layak ke pusingan keempat Piala FA Inggeris.

Jaringan gol Morata dalam tempoh 10 minit separuh masa kedua itu sudah cukup bagi mengesahkan kemaraan The Blues ke pusingan seterusnya dalam kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun, perlawanan itu lebih dibayangi isu perpindahan keluar Morata dan Cesc Fabregas di mana ia dianggap penampilan terakhirnya di Stamford Bridge dan bola sepak England.

Fabregas, yang turun sebagai ketua pasukan dikatakan menitiskan air mata kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong selepas gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama Chelsea musim ini.

Dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30 apabila sepakannya diselamatkan Luke Steele.

Begitupun, jurulatih Chelsea, Carlo Cudicini, yang mengambil alih sesi sidang media menggantikan pengurus, Mauricio Sarri, mengakui tidak tahu sama ada perlawanan itu adalah yang terakhir untuk Fabregas bersama pasukan itu.

“Fabregas pemain hebat untuk pasukan yang pernah diwakilinya sebelum ini dan sumbangan untuk Chelsea memang menakjubkan.

“Beliau sentiasa bertindak selaku pemain utama,” katanya dipetik AFP.

Morata dan Fabregas dikatakan akan dijual pada perpindahan Januari ini, dan difahamkan Fabregas akan menyertai bekas rakan sepasukan di Arsenal, Thierry Henry yang kini dilantik sebagai pengurus Monaco.


Pengarang :