SELANGOR

PKNS tawar rebat RM1 juta kepada pembeli hartanah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JAN: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) julung kali melancarkan Promosi PKNS Mega Bonanza dengan menawarkan rebat keseluruhan RM1 juta kepada pembeli hartanahnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, tawaran yang bermula sejak 1 Januari hingga 28 Februari ini ditawarkan khusus buat rumah PKNS yang sudah siap dibina.

Katanya, diskaun sehingga 20 peratus untuk pembelian kediaman terpilih PKNS ditawarkan bagi projek di Kota Puteri iaitu Daffina 3, Daffina 2 dan Elaisha; projek Azhara di Antara Gapi serta Menara U & U2 di Shah Alam.

“Menariknya, diskaun ini bukan hanya terhad kepada Bumiputera, sebaliknya ia dibuka kepada semua kaum yang mahu memiliki kediaman sendiri.

“PKNS juga memberikan rebat tunai keseluruhan sehingga RM1 juta bagi projek Hijauan Enklaf dan projek Anggun Kirana di Alam Nusantara, Setia Alam serta 10 Residensi di Seksyen 17, Shah Alam,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, pembeli turut berpeluang menikmati Insentif Dokumentasi sehingga RM15,000 bagi projek Hijauan Enklaf, Opal Residensi, Taman Bayu Malawati dan 10 Residensi.

“Pembeli juga bakal menerima baucar barangan elektrik sehingga RM30,000 untuk projek Hijauan Enklaf, Opal Residensi dan Rasa Avenue.

“Malah, kami turut memberikan baucar Smart Home sehingga RM15,000 bagi projek Anggun Kirana, Vega Residensi di mana pembeli dapat memantau kondisi kediaman menerusi aplikasi Smart Home System ketika berada di dalam rumah atau dari jauh,” katanya.

Katanya, PKNS turut menawarkan baucar hiasan dalaman sehingga RM10,000 bagi projek terpilih di Taman Bayu Malawati.

Beliau berkata, pembeli bakal menikmati sifar bayaran pendahuluan, manakala kos Perjanjian Jual Beli (SPA) dan Memorandum Pertukaran (MOT) akan ditanggung oleh PKNS bagi projek terpilih.

Sementara itu, katanya, Skim Smart Ownership yang sudah tamat tempoh pada 31 Disember lalu pula diteruskan dengan pemberian insentif ‘First Ownership’, iaitu pemberian diskaun sehingga 10 peratus untuk pembelian hartanah PKNS kali pertama kepada pembeli.

“Manakala, insentif ‘Loyalty Scheme’ iaitu pemberian diskaun 12 peratus kepada pembeli hartanah PKNS untuk kali kedua atau lebih meliputi kediaman, komersial atau industri,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut bagi projek di Wilayah Tengah boleh hubungi Lee Chee Seng (016-2510113), Sarimah (019-3034342) dan bagi projek di Wilayah Utara, Nor Afisah (012-6595515) serta Norlini (013-2504380).

Manakala untuk projek di Wilayah Selatan boleh hubungi Vimala (018-2051713) dan Halim (017-3634821). Sebarang maklumat tambahan sila layari laman sesawang www.pkns-property.com dan Facebook PKNS Property.


Pengarang :