NASIONAL

PM seru rakyat guna produk keluaran industri tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Rakyat negara ini diseru mengutamakan produk keluaran tempatan bagi menggalakkan lagi pertumbuhan perindustrian negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertumbuhan perindustrian negara memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Rakyat hendaklah sokong industri tempatan kerana langkah membantu merancakkan ekonomi negara ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Penggunaan produk industri tempatan juga dapat mengelakkam mata wang kita mengalir keluar dengan banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran LPG Komposit ACGAS di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Mahathir berkata, kerajaan turut mempunyai dasar membantu kepada pemain industri tempatan untuk mengeluarkan produk sendiri.

Bagaimanapun katanya, bantuan yang diberikan adalah berdasarkan kemampuan kerajaan.

Katanya, syarikat perindustrian yang mendapat bantuan kerajaan hendaklah berusaha sehingga mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan kerajaan lagi.

“Apabila syarikat perindustrian ini tidak lagi harapkan kerajaan, maka kerajaan dapat membantu syarikat lain pula,” katanya.


Pengarang :