SELANGORSUKANKINI

PNSB rai atlet olahraga cemerlang di SUKMA

SHAH ALAM, 25 JAN: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) meraikan atlet olahraga Selangor yang berjaya merangkul pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dalam satu majlis, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Omar berkata, PNSB turut memberi insentif kepada atlet sebagai tanda perghargaan di atas kejayaan mengharumkan nama Selangor di temasya itu.

“PNSB saban tahun menyumbang kepada Kontinjen SUKMA Selangor dan ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat ‘CSR’ kami yang berterusan.

“Cuma pada temasya edisi ke-19 ini, PNSB menjadi bapa angkat bagi pasukan olahraga Selangor,” katanya pada Majlis Makan Tengahari bersama Atlet Olahraga Selangor SUKMA 2018 di Tiara Room, Klang Executive Club.

Terdahulu, pasukan olahraga Selangor berjaya muncul juara di SUKMA 2018 di Stadium Perak, pada 17 hingga 20 September lalu.

Untuk rekod, pasukan olahraga Selangor berjaya mencapai lebih pingat daripada disasarkan dengan membawa pulang lapan pingat emas, perak (8) dan gangsa (4).

Lebih membanggakan, tiga olahragawan dan dua olahragawati Selangor berjaya mencatatkan masa terbaik dalam acara yang ditandingi.

“Walaupun Kontinjen Selangor tidak muncul juara bagi SUKMA 2018, kekuatan Selangor jelas dibuktikan dengan kedudukan ‘top 3’ jumlah kutipan pingat.

“Pasukan Selangor berjaya membawa pulang lebih banyak pingat jika dikira mengikut jumlah keseluruhan iaitu 182 keping pingat berbanding Terengganu yang membawa pulang 160 pingat keseluruhannya,” katanya.


Pengarang :