NASIONAL

Polis akan rekod keterangan pemandu kereta Toyota Vios

GEORGE TOWN, 21 JAN: Polis akan merekodkan keterangan pemandu kereta Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini sehingga menyebabkan sebuah lagi kereta terhumban ke dalam laut awal pagi semalam, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketika ini lelaki berusia 21 tahun itu masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Sama ada lelaki itu akan ditahan atau sebaliknya bergantung pada siasatan yang polis jalankan. Beri ruang kepada polis lengkapkan siasatan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.​​​​​​​

Beliau berkata, polis juga masih menunggu laporan ujian darah pemandu Toyota Vios itu untuk memastikan sama ada lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kemalangan berkenaan atau tidak.

“Selain laporan ujian darah, pihak polis juga menunggu laporan perubatan lelaki itu daripada doktor merawatnya bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada dua kereta berkenaan sedang berlumba ketika kemalangan terbabit seperti dakwaan orang ramai berdasarkan rakaman kamera video ‘dash cam’ kereta milik seorang pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau percaya kedua-dua kereta itu dalam kelajuan maksimum kerana mereka tidak dapat mengawal kenderaan masing-masing sehingga berlaku kemalangan teruk dan menyebabkan sebuah daripadanya terhumban ke dalam laut.

“Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kami,” katanya.

Dalam kemalangan pada jam 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.

Pemandu kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan adalah pelajar sebuah kolej swasta.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :