NASIONAL

Polis bentuk jawatankuasa bantu RCI

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Polis membentuk satu jawatankuasa bagi membantu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses penubuhan RCI berkenaan masih berjalan untuk mengetahui individu yang akan hadir dalam RCI bagi membantu siasatan kes itu.

“Kami mengalu-alukan pegawai dan anggota polis yang pernah terlibat dengan penugasan dan siasatan berkaitan kes Wang Kelian ini akan dipanggil.

“Ada ahli-ahli dilantik kerajaan dan perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita tunggu siapa yang akan dilantik dan polis sedang membuat persiapan yang sewajarnya bagi proses RCI ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis serah terima pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu telah pun ada dan akan diserahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas RCI itu dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia akan diberikan masa selama enam bulan untuk menyiasat perkara itu sebelum membentangkan laporannya.

Pada Mei 2015, polis mengumumkan penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit sempadan negara di Wang Kelian.

– BERNAMA

 


Pengarang :