SELANGOR

Polis buru Ozi, empat suspek direman seminggu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sedang menjejaki seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan bekas calon Angkatan Muda KEADILAN Shah Alam, Thiyahu Marimuthoo, di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7 Shah Alam, semalam.

Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam kenyataan berkata, suspek seorang lelaki bernama Ozziram M Devan, 25 dengan alamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, Selangor.

“JSJ Selangor memohon kerjasama orang awam untuk memberikan maklumat berkenaan penama ini yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes bunuh terbabit.

“Polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Kes, ASP Vignesh Kumar di taian 03-55202222,” katanya.

Setakat ini, empat orang suspek: tiga lelaki dan seorang perempuan sudah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Lelaki berusia 23,24 dan 25 tahun bersama perempuan berusia 20 tahun ditangkap sekitar Shah Alam serta Klang.

Thiyahu disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Shah Alam selepas cedera parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki.


Pengarang :