NASIONAL

Polis cari empat individu bantu siasatan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Polis sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah kesalahan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu pertama adalah wanita warga Singapura dikenali sebagai Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55, yang beralamat di No. 19, Parkstone Road, 437662, Singapura.

“Polis juga mencari lelaki tempatan, Low Hock Peng dan wanita tempatan, Goh Gaik Ewe, masing-masing berusia 67 tahun dan beralamat di No. 69, Tanjung Bungah Park, 11200 Tanjong Bungah, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, turut dicari ialah Tan Kim Loong, 41, yang beralamat di No. 20 M, Jalan 5/40, Taman Pusat Kepong, 52000 Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali individu berkenaan supaya menghubungi Superintendan Foo Wei Min di talian 03-26101402 atau Deputi Superintendan Albany Hamzah di talian 019-2412826 dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :