NASIONAL

Polis pergiat usaha SAR warga Finland

KUANTAN, 27 JAN: Polis terus mempergiatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Finland yang dikhuatiri hilang di Pulau Tioman, sejak Selasa dengan bantuan anjing pengesan.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata, operasi hari kedua bermula pada jam 8.30 pagi itu memberi tumpuan di sekitar kawasan Kampung Paya menuju ke arah Kampung Genting.

“SAR disertai 41 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk tempatan dengan bantuan anjing pengesan polis dan bomba,” katanya dalam kenyataan media.

Semalam, seorang pekerja restoran, Jamsari Ismail, 47, membuat laporan polis berkenaan kehilangan Nakitin Aleksis Elis Valtteri, 20, yang dikatakan kali terakhir dilihat, pada Selasa.

Jamsari mendakwa mangsa yang dikenalinya pada petang Isnin menumpang tidur di rumahnya di Kampung Paya dan ada bertanya arah untuk ke air terjun Asah di Kampung Mukut.

Katanya, mangsa tidak kelihatan semasa dia pulang daripada kerja pada petang Selasa, namun dokumen dan barang miliknya masih berada di rumah.

Operasi SAR yang bermula pada jam 3.30 petang semalam, membsbitkan 17 pegawai dan anggota penyelamat serta dihentikan pada jam 6 petang ekoran keadaan yang semakin gelap.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :