NASIONAL

Polis rampas minuman keras RM1.6 juta tanpa cukai

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Polis menahan sembilan lelaki dan merampas 553 kotak minuman keras asli pelbagai jenama mewah dianggar bernilai RM1.6 juta yang diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua lelaki terbabit ditahan Sabtu lalu di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kinrara, Bandar Kinrara, di sini.

Katanya, ketika serbuan, semua mereka yang terdiri daripada lima lelaki Myanmar dan empat rakyat tempatan berumur 26 hingga 57 tahun itu sedang mengemas dan memunggah minuman keras berkenaan.

“Hasil pemeriksaan didapati setiap minuman keras itu tulen, yang diseludup masuk dari negara jiran dan akan dipasarkan di peruncit serta pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan di negeri sebelah utara.

“Selain itu, minuman keras ini juga diipercayai dibawa masuk melalui negeri di sebelah selatan dan kegiatan menyeludup ini telah bergiat aktif selama dua tahun,” katanya pada sidang media operasi sindiket seludup minuman keras di Balai Polis Bukit Jalil di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, semua barang diseludup itu dibawa masuk ke negara ini melalui darat dan polis masih menyiasat cara mereka menyeludup masuk ke negara ini.

Selain itu, polis turut merampas dua lori jenis Isuzu dan Hino dipercayai digunakan mengedar barang berkenaan, sebuah jentera Forklift jenis Toyota, dua kereta jenis Hyundai Getz serta Toyota Avanza yang semuanya dianggar bernilai RM186,000.

Katanya, pihaknya turut menemui 2,000 pelekat stem duti kastam yang dipercayai palsu pada semua minuman keras yang dirampas itu.

“Kesemua suspek direman semalam sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Acryl Sani berkata, ia kejayaan rampasan itu adalah hasil kerjasama orang awam dan polis mengucapkan terima kasih kerana penyaluran maklumat berkenaan sehingga mencapai kejayaan yang besar itu.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 53 karton rokok tanpa cukai dianggar bernilai RM100,000 di Banting, semalam, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :