NASIONAL

Polis tahan empat lelaki, rampas dadah RM2.14 juta

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.14 juta, sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sejak setahun lalu.

Keempat-empat lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan Rabu lalu dalam operasi polis sekitar ibu negara dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) manakala dua lagi lelaki berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata, semua rampasan dadah pula dibuat dalam serbuan susulan di dua kondominium iaitu di Taman Industrial Park, Seksyen 13 di Shah Alam dan tempat meletak kenderaan kondominium di Wangsa Maju.

Dadah dirampas ialah bahan asas heroin seberat 19.6 kilogram, heroin seberat 11.8 kilogram, syabu seberat 1.6 kilogram, pil erimin 5 (4,350 biji) dan pil ekstasi (3,380 biji) yang semuanya dianggar bernilai kira-kira RM2.14 juta.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua dadah itu dibawa masuk dari negara jiran melalui negeri di Pantai Timur dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 950,130 pengguna dalam satu-satu masa.

Mohmad berkata, dua lelaki pertama berusia 30-an ditahan di KLIA2 ketika seorang daripada mereka menghantar isteri ke luar negara dan hasil siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Beliau berkata, keempat-empat lelaki ditahan itu adalah rakyat tempatan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah dan direman tujuh hari sehingga Khamis serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis juga menyita empat kenderaan iaitu Mitsubishi Triton, Perodua Myvi, Perodua Kelisa dan motosikal Yamaha dengan nilai keseluruhan RM130,000.

Sementara itu, Mohmad berkata, seramai 9,739 orang yang disyaki terbabit dalam sindiket mengedar dadah ditahan di seluruh negara dalam tempoh 1 hingga 16 Januari lalu membabitkan nilai rampasan keseluruhan dianggar lebih kurang RM32.12 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 9,105 yang ditahan itu adalah rakyat tempatan manakala 634 lagi rakyat asing.

“Ujian air kencing mendapati 4,608 individu positif dadah dan polis turut merampas syabu seberat 598.92 kilogram (kg), ketamin (4.33 kg), pil eramin 5 (0.40 kg), pil yaba (2.07 kg), pil ekstasi (4.63 kg), ganja (3.79 kg) dan heroin (35.64 kg),” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :