SUKANKINI

Pre Season Thai Tour: Selangor catat keputusan seri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Selangor mencatat keputusan seri 1-1 ketika turun menentang Chonburi FC, pada perlawanan kedua Siri Jelajah Pra Musim Thailand, di Stadium IPE Chonburi Bangkok, di sini, malam tadi.

Sebaik wisel perlawanan dibunyikan, Chonburi terlebih dahulu bermula garang selepas banyak menguasai bola.

Percubaan pertama pihak lawan muncul seawal minit ketiga, namun penjaga gol muda Selangor, Aqil Fadhly berjaya menepis keluar tendangan itu.

Berselang seminit kemudian, giliran penyerang utama gergasi merah, Rufino Segovia membuat percubaan tandukan, tetapi mudah diselamatkan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-18, Rufino sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun tendangan itu sedikit tersasar ke kanan gawang Chonburi.

Anak buah B Sathianathan terus menyusun serangan dan peluang menjaringkan gol terhidang pada minit ke-20 melalui percubaan Antonio German, tetapi gagal menerjah jaring.

The Red Giants bagaimanapun enggan mengalah dengan kembali memperkemas rentak permainan bagi mendapatkan gol dan akhirnya beroleh jaringan menerusi pemain tengah, Faiz Nasir yang menendang deras bola, hasil lorongan kemas Rufino yang melepasi dua pemain pertahanan Chonburi, pada minit ke-23.

Bermula babak kedua, beberapa pertukaran dibuat B Sathianatan dengan mengeluarkan Taylor Regan dan Namatevhan, serta memasukkan Wan Zack Haikal dan Azrien Zulkafali.

Manakala Chonburi mengeluarkan hampir kesemua pemain mereka dan dua pemain sahaja yang dikekalkan.

Perlawanan menjadi semakin rancak dengan Chonburi FC terdesak untuk mencari gol penyamaan dan jentera Selangor pula semakin bersemangat menggandakan jaringan.

Beberapa minit kemudian, sekali lagi pertukaran dibuat jurulatih Selangor dengan membawa masuk Ashmawi Yakin bagi menggantikan Michal Nguyen, manakala Syazwan Zainon diganti dengan pemain lagenda, Amri Yahya.

Ketika saingan hampir tamat, Chonburi akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui gerakan solo penyerang mereka yang disudahkan dengan satu rembatan menggegarkan gol Selangor.

Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Pasukan Selangor bakal mengakhiri siri jelajah itu dengan perlawanan ketiga bertemu Thai Honda FC, pada 17 Januari ini, jam 7 petang waktu tempatan.

Sumber foto: @asianadotmy


Pengarang :