Selangorkini
NASIONAL

PRK Cameron Highlands: 63% keluar mengundi sehingga jam 2 petang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan 63 peratus pengundi di kawasan terbabit menjalankan tanggungjawab, setakat jam 2 petang tadi.

Menurut laman facebook rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah itu meningkat lima peratus berbanding, pada jam 12 tengah hari tadi.

SPR menetapkan waktu pengundian pada PRK Cameron Highlands bermula dari jam 8 pagi dan pusat pengundian akan ditutup berdasarkan jumlah pengundi berdaftar di sesuatu pusat pengundian bermula jam 1 petang sehingga 5.30 petang.

SPR sebelum ini menjangkakan sebanyak 70 peratus daripada 32,009 pengundi berdaftar bagi Parlimen Cameron Highlands akan keluar mengundi, pada PRK ini.

PRK itu terpaksa diadakan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 dibatalkan mahkamah ekoran melakukan kesalahan politik wang.

Ia membabitkan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, M Manogaran ditentang calon BN, Ramli Mohd Nor dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.


Pengarang :