NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Polis letak anggota secukupnya

TANAH RATA, 26 JAN: Polis menempatkan anggota secukupnya bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas sepanjang tempoh pengundian Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands berlangsung hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, walaupun terdapat pertambahan kenderaan ke tempat peranginan berkenaan, keadaan trafik sehingga kini masih terkawal.

“Setakat ini tiada sebarang aduan berhubung kesesakan lalu lintas atau apa-apa sahaja berhubung kait pilihan raya ini.

“Kita sudah letakkan keanggotaan secukupnya untuk pastikan perjalanan tersusun seperti biasa hari minggu ini yang menjadi tumpuan pelancong tempatan,” katanya lapor BERNAMA.

Terdahulu, beliau ditemui ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bertam Valley, di sini, yang merupakan salah satu pusat mengundi bagi PRK berkenaan.

Tinjauan BERNAMA turut mendapati, keadaan trafik daripada Kea Farm ke Tanah Rata mulai sesak, seperti kebiasaan setiap hujung minggu.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran mewakili Pakatan Harapan; bekas Pesara Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas, iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 serta petani Wong Seng Yee, 40 (eng: He).

Kesemua pusat pengundian akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat, pada jam 5.30 petang ini.


Pengarang :