NASIONAL

PRK Cameron Highlands: SPR sedia sepenuhnya

TANAH RATA, 25 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia 100 peratus untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, esok.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, seramai 811 petugas akan menjalankan tugas pada hari pengundian dengan 29 pusat mengundi dan 86 saluran pengundian bagi proses pengundian esok.

“SPR hari ini juga telah menjalankan semakan peralatan undi seperti peti undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya untuk kegunaan hari pengundian.

“Ini bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan baik. Semuanya sudah siap sedia,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat semakan peti undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Azhar dalam pada itu menasihati semua pengundi supaya keluar mengundi awal dan jangan menunggu sehingga saat akhir kerana jangkaan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ketika ditanya akan sesetengah pusat pengundian yang akan ditutup awal dan sama ada pengundi peka dengan hal itu, Azhar berkata, ia bukan satu yang baharu kerana kaedah itu telah dilaksanakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

“Ini kerana jarak antara pusat pengundian terbabit dan pusat penjumlahan undi adalah jauh, malah SPR juga menambah saluran untuk mempercepat dan melancarkan proses pengundian.

“Dengan ini, pengundi tidak perlu beratur lama, ia adalah satu proses penambahbaikan yang amat ketara kalau dibandingkan dengan PRU14. Peratusan keluar mengundi di pusat pengundian yang tutup awal pada PRU14 juga tinggi, antara 83 hingga 85 peratus, saya harap perkara ini tidak menjadi isu,” katanya.

Azhar juga menjangkakan keputusan rasmi PRK Cameron Highlands akan diumumkan selewat-lewatnya pada atau sebelum jam 10 malam esok.

PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan adalah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept) serta Parlimen Port Dickson (13 Oktober).

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, M Manogaran, bekas pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :