NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Tiba masa buat perubahan

TANAH RATA, 12 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengharapkan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan menjadi bibit permulaan dalam usaha mengambil alih Pahang daripada Barisan Nasional (BN).

Justeru, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, calon PAKATAN iaitu M Manogaran harus dimenangkan bagi memudahkan lagi perkhidmatan diberi kepada penduduk setempat, memandangkan parti itu kini menguasai Kerajaan Persekutuan.

“Apabila kita melihat pada masa lalu, kita mempunyai calon daripada BN selama 61 tahun tetapi kita dapati masalah yang membelenggu penduduk, di sini masih belum dapat diselesaikan.

“Saya sudah bercakap dengan komuniti di sini dan mendapati ada kekecewaan kerana ini adalah masalah yang menjejaskan kehidupan seharian, jadi saya rasa inilah masanya untuk kita melihat perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program santai pemimpin PAKATAN, bersama kira-kira 200 anggota komuniti Orang Asli Cameron Highlands, hari ini.

Berhubung langkah BN meletakkan calon dalam kalangan Orang Asli, beliau berkata, walaupun ia dilihat mempunyai kelebihan dalam meraih sokongan komuniti, namun Manogaran diyakini berupaya memfokuskan kepada isu setempat demi kepentingan rakyat.

“Sudah tentu ia sukar bagi kita. Saya rasa akhirnya nanti kita perlu melihat kepada seseorang yang biasa dengan isu keseluruhan komuniti di sini dan seseorang yang mampu bersuara, mencari penyelesaian untuk mereka,” katanya yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran, Ramli Mohd Nor (BN) dan dua calon bebas, iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN, pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi, di kawasan itu.


Pengarang :