NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Tolak BN, elak kecelaruan nilai

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JAN: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang berlangsung hari ini digesa menolak Barisan Nasional (BN) ekoran parti itu disabit melakukan tindakan tidak bermoral, pada Pilihan Raya Umum ke-14 oleh mahkamah.

Senator Dewan Negara, Ismail Yusof berkata, tindakan memilih parti yang menggunakan politik wang dengan membeli undi bakal memberi gambaran berlakunya kecelaruan nilai.

“Sejujurnya Tok Abah akan rasa terkilan dan kecewa, jika BN diumumkan menang semula di PRK ini kerana keputusan seperti ini sudah tentu memberi gambaran songsang dan bercanggah dengan tujuan mengapa ia terpaksa diadakan.

“Bagaimana sebuah parti politik yang didapati bersalah dengan isu moral, dipilih semula untuk menang sekali lagi dalam pilihan raya semula atau PRK ini.

“Lebih menyedihkan bagi Tok Abah, jika keputusan seperti ini berlaku, ia juga memberi gambaran kecelaruan nilai atau ‘conflicting values’ rakyat, khasnya pengundi yang keluar untuk mengundi dalam PRK Cameron Highlands hari ini,” tulisnya di Facebook.

Ismail berkata, pada perbicaraan sebelum ini, pengundi di Cameron Highlands sendiri tampil secara terbuka memberi bukti dan keterangan kejadian terhadap salah laku itu, di mahkamah.

Katanya, PRK kali ini juga adalah satu isu moral yang sangat penting bagi semua pengundi, di kawasan terbabit.


Pengarang :