SELANGOR

PRK Semenyih dianggar telan belanja RM1.8 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 JAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dijangka menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, badan itu juga akan melantik 992 petugas untuk mengendalikan proses PRK terbabit.

“Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar sebagai Pengurus PRK DUN N.24 Semenyih dibantu empat penolong pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen yang dianggotai wakil daripada polis, Pihak Berkuasa Tempatan, wakil calon bertanding dan Pegawai SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR, di Menara SPR di sini, hari ini.

Penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 16 Febuari diikuti hari pengundian awal pada 26 Febuari dan hari mengundi, pada 2 Mac ini.

PRK kali keenam selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu.


Pengarang :