SELANGOR

PRK Semenyih: SPR sasar 70% keluar mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar, keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 DUN Semenyih nanti.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR mengambil empat langkah penambahbaikan termasuk memanjangkan tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga jam 5.30 petang, berbanding hingga jam 5 petang sebelum ini bagi memudahkan urusan pengundian.

“SPR menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi dan mewujudkan satu pusat mengundi baharu, menjadikannya 26 pusat mengundi dan 31 saluran baru.

“Ia bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya 119 saluran berbanding 88 saluran, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR, di Menara SPR di sini, hari ini.

Azhar Azizan berkata, SPR juga menambah tiga petak undi di dalam tempat mengundi berbanding amalan sebelumnya hanya dua petak undi sahaja.

Katanya, SPR turut melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media seperti media elektronik, media sosial, media cetak, hebahan melalui siaraya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam.

“SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti politik supaya mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK N.24 Semenyih akan diadakan pada 16 Febuari ini di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian sebelum hari pengundian awal pada 26 Febuari dan hari mengundi, pada 2 Mac.

Selain dijadikan lokasi penamaan calon, dewan itu juga dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.


Pengarang :