SELANGORSENI

Promosi karya seni pelajar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 16 JAN: Kerajaan Negeri komited memberi sokongan kepada pelajar, khususnya penuntut di institusi pengajian tinggi bagi mempromosi karya seni dihasilkan mereka sehingga berpotensi memasuki pasaran tempatan mahupun global.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, ia sebagai inisiatif mengiktiraf ‘titik peluh’ mahasiswa yang mampu mencerna idea unik dan kreatif dalam sesebuah karya seni.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu kertas kerja daripada semua pihak, terutama penuntut universiti untuk bersama membantu mengetengahkan produk atau karya berkenaan.

“Kita boleh promosikan bagi pihak mereka kerana kita mempunyai agensi dan peralatan untuk kita menolong produk dikeluarkan universiti, seterusnya dipamer dan disebarkan kepada masyarakat umum.

“Saya optimis jika promosi barang ini dapat dilaksanakan di pasar raya atau kedai, ia akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

“Paling penting pelaksanaannya memerlukan promosi, kerana jika tiada promosi masyarakat tidak tahu apa sebenarnya dihasilkan penuntut universiti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Visual Art Exhibition 2018 (VEX 2018), di Lobi Jabatan Seni Visual, Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global UNISEL, Prof Dr Mohd Nor Nawawi; Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual & Pengkomputeran, Prof Madya Dr Haslinda Sutan Ahmad Nawi ; Head Thinker, Thinker Studio, Adly Shairy Ramly dan Ketua Pegawai Eksekutif Silver Ant Sdn Bhd, Goh Aun Hoe.

Tanpa berselindung, Abdul Rashid berkata, UNISEL adalah sebuah pusat pengajian tinggi di Selangor yang memartabatkan dan mengangkat nilai kesenian dengan menawarkan beberapa bidang pengkhususan dalam seni reka.

“Saya percaya melalui proses latihan dan pengajaran daripada pensyarah berpengalaman, mahasiswa dapat menimba banyak ilmu untuk mengangkat bidang kesenian dan kebudayaan ke tahap lebih tinggi.

“Malah, jika kesemua produk yang dihasilkan mahasiswa ini dapat dikembangkan dan disebarluas, tidak mustahil suatu hari nanti UNISEL akan terkenal dengan produk kesenian melalui cetusan idea pelajar itu sendiri.

“Mereka yang mencipta produk dan karya seni juga dapat meraih banyak keuntungan apabila dipasarkan,” katanya.


Pengarang :