SELANGOR

Puding Raja Pahang popular air tangan anak Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 JAN: Siapa sangka seorang wanita kelahiran Selangor mampu menyediakan masakan istimewa Istana Pahang, iaitu puding raja dengan begitu enak sekali.

Siti Rabiatul Adawiah Muhammad Ali berkata, makanan itu antara yang diidamkannya ketika mengandungkan anak kembar.

“Disebabkan begitu susah dijumpai, akhirnya saya cuba membuat Puding Raja Pahang sendiri sehingga menjadi mahir dan untuk pengetahuan, saya hanya belajar melalui YouTube sahaja.

“Selepas menerima komen positif daripada keluarga dan rakan, akhirnya saya memberanikan diri untuk menjualnya melalui laman instagram ‘chintaqasehadawiyah’,” katanya.

Menu jualan wanita berusia 37 tahun itu turut digemari penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Katanya, dia menggunakan kira-kira 30 kilogram pisang emas sehari bagi menyediakan Puding Raja Pahang untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Selain Puding Raja Pahang, chintaqasehadawiyah turut menyediakan menu seperti Dominasi Tauhu Bergedil dengan Sambal Kicap Padu.

“Kelainan yang saya tampilkan ialah isinya yang diisi dengan udang dan ‘baby crab’.

“Penghantaran setakat ini hanya dibuat sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja dan saya terharu kerana ada juga pelanggan daripada Singapura, Johor, Negeri Sembilan serta Pahang sanggup turun ke sini untuk merasai hasil masakan saya,” katanya.


Pengarang :