EKONOMI

Purata gaji tahunan 3.5 peratus untuk capai negara berpendapatan tinggi

 

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Kadar gaji di Malaysia mesti berkembang pada purata tahunan 3.5 peratus untuk membolehkan negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Ketua Ekonom Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain berkata, pertumbuhan purata gaji di negara ketika ini adalah 2.4 peratus, ekoran bekalan tenaga kerja asing yang besar.

“Untuk meningkatkan pertumbuhan gaji, anda perlu menangani isu pekerja asing, mengurangkan angkanya, dan saya yakin gaji akan naik,” katanya kepada pemberita di luar Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira dua juta pekerja asing dan angkanya mencapai empat juta jika pengiraan menyeluruh dibuat.

Selain mengurangkan pekerja asing, beliau berkata kerajaan juga wajar memberi tumpuan kepada pewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang memberikan pendapatan lebih tinggi.

Beliau berkata, pekerjaan mahir hanya menyumbang 25 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia berbanding 50 peratus di Amerika Syarikat.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak inisiatif mengubah struktur kerja Malaysia, daripada berkemahiran rendah kepada berorientasikan kemahiran tinggi atau berorientasikan teknologi,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :