BERITA UTAMASELANGOR

Pusat pengedaran IKEA bakal dibina di Pulau Indah

OLEH SHEEDA FATHIL

PULAU INDAH, 30 JAN: Pusat Pengedaran IKEA (Malaysia) dengan kos pelaburan RM900 juta, bakal dibina di Pulau Indah, Klang, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pembinaannya yang bermula sejak November tahun lalu dijangka memulakan operasi, pada September 2020.

Katanya, kajian graviti menunjukkan Selangor adalah lokasi terbaik untuk pembinaan Pusat Pengedaran IKEA memandangkan ia berhampiran pelbagai tempat, di rantau Asia Tenggara.

“Lokasi dipilih di Pulau Indah ini juga berdekatan pelabuhan laut dalam (Westport dan Northport).

“Persekitaran perniagaan yang mesra juga menjadikan Selangor pilihan terbaik untuk pelaburan Inter IKEA Group membuat pelaburan di sini.

“Selain itu, ia akan membantu menjangkau lebih banyak pelanggan di Asia Tenggara, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan perabot rumah yang lebih cepat dan mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Pusat Pengedaran IKEA di Pulau Indah, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, pilihan strategik IKEA itu adalah tanda keyakinan syarikat terbabit terhadap pimpinan Selangor untuk menjalankan operasi peruncit global itu.

“Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor akan terus mempermudah proses pelaburan dan meningkatkan lagi persekitaran perniagaan, di negeri ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor dari seluruh dunia dan akan memulakan pelbagai inisiatif baru untuk mengukuhkan aktiviti promosi pelaburan,” katanya.

Pusat Pengedaran IKEA di Pulau Indah itu akan menggunakan teknologi tinggi untuk operasi utama dengan 80 peratus daripada kapasiti storan penuh automatik, membawa lebih daripada 12,000 produk.

Malah, difahamkan, Pusat Pengedaran IKEA itu akan menjadi yang ketiga terbesar di dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Jerman.


Pengarang :