SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

PWB buka ruang wanita ceburi politik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Pusat Wanita Berdaya (PWB) kini menawarkan kefahaman, latihan, ilmu kepimpinan dan undang-undang dalam bidang politik bagi mereka yang berminat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebelum ini pusat itu hanya menawarkan kemahiran antaranya menjahit, memasak dan pastri.

“Kemahiran seperti itu masih ada cuma kita hanya meletakkannya pada kadar 50 peratus, manakala selebihnya kita akan berdayakan dengan ilmu, kepimpinan dan undang-undang bagi mereka yang berminat dalam bidang politik.

“Siapa yang suka kemahiran memasak dan lain-lain boleh teruskan seperti biasa. Tujuannya bagi menyediakan wanita berkualiti dalam bidang politik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, wanita yang layak akan disaring terlebih dahulu menerusi jawatankuasa Wanita Berdaya Selangor dan seterusnya akan menyertai kursus daripada Institut Wanita Berdaya (IWB).

“Wanita di negeri ini, kini aktif sebagai Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung, justeru, kita mahu lebih ramai wanita aktif dalam pembuat keputusan atau dasar serta melahirkan pelapis yang berkualiti,” katanya.

PWB adalah pusat pengerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN, di bawah Kerajaan Negeri.

Tujuan utama penubuhannya adalah untuk menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan, termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana juga memberi kesedaran melalui kursus yang dijalankan.


Pengarang :