PENDIDIKANSELANGOR

Ragam pelajar istimewa warnai hari pertama persekolahan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 JAN: Hari pertama sesi persekolahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaaan Sultan Alam Shah 1 diwarnai dengan pelbagai ragam pelajar dan ibu bapa yang buat pertama kali menghantar anak ke sekolah.

Deraian air mata, jeritan penuh hiruk-pikuk antara yang menghiasi hari pertama persekolahan hingga memaksa ibu bapa serta guru menenangkan keadaan dengan cara paling berhemah.

Sekolah yang mula dibuka sejak 1996 itu menempatkan 62 pelajar terdiri daripada darjah 1 hingga 6 bagi sesi 2019 dengan enam buah kelas, 10 orang guru serta dibantu tiga pembantu pengurusan murid.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Abd Rahman Ramly berkata, antara kategori pelajar di situ adalah autisme, disleksia, down syndrome, cerebral palsy, terencat akal dan ‘slow learner’.

“Hari ini juga kita turut mengadakan jualan seperti makanan sejuk beku (forzen food) di kedai pendidikan khas bagi melatih murid.

“Ibu bapa juga turut berpeluang melihat lebih dekat sesi pembelajaran, di sini termasuk cara guru mengendalikan pelajar,” katanya.

Walaupun terdiri daripada pelajar istimewa, sekolah itu pernah melakar kejayaan cemerlang antaranya johan pertandingan Tilawah al-Quran, menyertai beberapa pertandingan sukan seperti berenang dan boling serta mengadakan lawatan sambil belajar di Sabah, Langkawi, Pahang juga Ipoh.


Pengarang :