NASIONAL

RESTART budaya amalan tanpa rokok dan tembakau

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 3 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Program Restoran Tanpa Asap Rokok (RESTART), bagi mempromosikan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok.

Program anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.

Upacara perasmian dilakukan dengan memotong reben ‘bunting’ ‘Kini Masa Untuk #RestartNOW’ sebagai simbolik pelancaran, di Foyer Restoran Nasi Kandar Darussalam dan Restoran Al Nazmaju.

Kedua-dua menteri itu kemudiannya bersama memasang papan tanda ‘Dilarang Merokok’, di Medan Selera Presint 9 sambil bertemu pelanggan yang sedang menjamu selera.

Dalam sidang medianya, Dr Dzulkefli berharap masyarakat akan menerima pelaksanaan terbabit sebagai langkah positif bagi meningkatkan kesihatan.

“Pelaksanaan larangan ini selaras komitmen Malaysia kepada Artikel 8 WHO ‘Framework Convention on Tobacco Control’ (FCTC) dalam melindungi orang awam, terutama bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap produk tembakau dan rokok.

“Ia juga dapat membudayakan amalan tidak merokok terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja untuk memenuhi hasrat kerajaan mencapai sebuah negara bebas daripada sebarang amalan merokok,” katanya.

Katanya, KKM akan menilai semua pandangan diberi rakyat berhubung pelaksanaan terbabit termasuk cadangan mewujudkan ruang khas bagi perokok tanpa menjejaskan bukan perokok, di kawasan awam.

Katanya, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan kempen terbabit, namun beliau yakin akan menerima reaksi positif sebagai sokongan kepada langkah kementerian.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Zuraida berkata, KPKT turut mengalu-alukan pelaksanaan RESTART sebagai tanda kesediaan ke arah negara maju, menjelang 2020.

Katanya, langkah itu termasuk memberi bantuan dari segi pelaksanaan undang-undang.

Beberapa persatuan lain seperti Malaysia Council for Tobacco Control (MCTC), Public Health Malaysia (PHM), Malaysia Mythbuster Malaysia (M3), MedTweetMy, Persatuan Integrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Malaysia Green Lung Association dan Malaysian Medical Association Public Health Society (MMAPHS) turut menyokong program terbabit.


Pengarang :