PBTSELANGOR

Restoran abai kebersihan, diarah tutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Sebuah restoran yang menyajikan makanan tempatan di Seksyen 13, di sini, diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa serta merta selepas didapati mengabaikan aspek kebersihan di premis terbabit.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika Operasi Bersepadu Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 12 notis pemberitahuan dan empat kompaun turut dikeluarkan dalam operasi membabitkan sembilan premis di sekitar Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan kami, selain mengabaikan aspek kebersihan, pemilik premis masih lagi mengabaikan aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan kurang bersih, kebersihan tandas kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya.

“Kegagalan pemilik premis mematuhi syarat ditetapkan tindakan boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & AMP Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Terdahulu, operasi berkenaan susulan daripada operasi mengejut dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada 18 Januari lalu.

Ia turut disertai agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Imigresen serta Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri Selangor (KPDNKK).

Operasi juga disertai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Shahrin berkata, pihaknya juga mengadakan pemeriksaan di 615 premis sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu 28 premis ditutup.

Katanya, sehingga 21 Januari lalu, sebanyak 68 premis diperiksa dan tiga premis diarah tutup.

“Operasi seperti ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Kami berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan dan mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh MBSA,” katanya.


Pengarang :