ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Ribut Siklon: Bomba pantau pesisir pantai

PUTRAJAYA, 4 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan balai membuat pemantauan dan rondaan di pesisir pantai bagi memastikan keadaan sekitar selamat serta tindakan operasi menyelamat dapat berjalan dengan pantas sebagai persiapan menghadapi ribut tropika Siklon.

JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua negeri melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) diarahkan memantau kesiapsiagaan anggota dan aset jabatan termasuk kenderaan darat, air juga udara selain ditempatkan di kawasan strategik bagi memudahkan pergerakan apabila kecemasan.

Kenyataan itu berkata, pegawai kanan di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya pula, diarahkan bertugas secara ‘standby’ 24 jam di Pusat Pengurusan Operasi (PPO) sejak 2 Januari hingga (esok) 5 Januari ini bagi memantau keadaan ketika operasi ribut Silkon Tropika serta menguruskan bantuan kecemasan membabitkan anggota dan aset jabatan ke negeri yang terbabit, memetik BERNAMA.

Tiga negeri, katanya, yang terkesan dengan ribut Silkon Tropika itu adalah Pahang,Terengganu dan Kelantan sudah mengambil tindakan seperti yang diarahkan Ibu Pejabat JBPM iaitu membuat rondaan serta memberi khidmat nasihat kepada orang awam yang berada di tepi pantai berhubung bahaya ribut itu.

Menurut kenyataan JBPM itu, ribut tropika dijangka membadai Kelantan dan Terengganu yang akan menerima hujan lebat serta angin kencang pada kelajuan 40 kilometer sejam (km/j) sehingga boleh memberi kerosakan kepada struktur bangunan terutama rumah di pesisiran pantai, risiko pokok tumbang dan banjir kilat, di kawasan terkesan.

Kawasan yang disenaraikan terjejas adalah Jajahan Tumpat, Kota Bahru, Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai di Kelantan manakala daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang, di Terengganu.


Pengarang :