GLOBAL

Ribut tropika Pabuk diramal badai Thailand

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGKOK, 3 JAN: Puluhan ribu pelancong meninggalkan pulau peranginan Thailand termasuk Koh Phangan dan Koh Tao selepas Ribut Tropika Pabuk diramal membadai dengan membawa hujan lebat, angin dan ombak setinggi tujuh meter, kata pihak berkuasa hari ini.

Sejak semalam, pulau yang menjadi tumpuan pelancong bersempena cuti Krismas dan Tahun Baru mula dikosongkan susulan perkembangan fenomena itu.

Ribut tropika Pabuk yang pertama kali membadai di luar musim monsun sejak 30 tahun lalu, diramal membadai Koh Phangan, Koh Tao dan Koh Samui malam esok sebelum melalui tanah besar.

Walaupun tiada amaran rasmi dikeluarkan setakat ini, pelancong bertindak meninggalkan pulau peranginan berkenaan kerana tidak mahu mengambil risiko.

Pihak berkuasa di pulau itu berkata mereka menyediakan tempat perlindungan untuk mana-mana pelancong yang mengambil keputusan menunggu sehingga ribu reda.

Pabuk, yang bererti ikan keli gergasi di Laos, juga diramal membawa hujan lebat ke selatan, termasuk kawasan tumpuan pelancong di Laut Andaman seperti Krabi dan wilayah yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala. – AFP


Pengarang :