GLOBAL

Ribut tropika Pabuk perangkap penduduk, pelancong di Thailand

BANGKOK, 5 JAN: Seramai lebih kurang 30,000 penduduk tempatan dan pelancong terkandas apablia ribut tropika Pabuk melanda wilayah Nakhon Si Thammarat, dekat sini, semalam.

Berikutan itu, mereka terpaksa mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara disediakan pihak berkuasa tempatan di Thailand.

Ribut tropika itu yang bergerak pada kelajuan 75 kilometer sejam, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang di selatan Thailand, hingga mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan banjir.

Berikutan itu, ramai pelancong terkandas di pulau pelancongan Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao, selepas lapangan terbang ditutup manakala perkhidmatan feri ke tanah besar dibatalkan.

Laporan AFP memaklumkan, Jabatan Perlindungan dan Kawalan Bencana berkata, terdapat kira-kira 30,000 penduduk menghadapi kesukaran kerana masih terputus bekalan elektrik akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, tiada laporan kematian diterima setakat ini dan keadaan difahamkan semakin pulih dengan perkhidmatan pengangkutan kembali beroperasi.

Dengan perkembangan itu, pihak berkuasa mengandaikan pelancong boleh beransur meninggalkan pulau peranginan itu mulai hari ini.

 


Pengarang :