EKONOMIRinggit

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan dolar kekal kukuh sebagai mata wang selamat, di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi luaran.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1460/1500 berbanding dolar US daripada 4.1350/1390 semasa ditutup, pada Rabu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) melaporkan minggu ini menunjukkan trend sentimen semakin menurun dalam kalangan pengeluar.

“PMI global yang baru-baru ini jatuh kepada 51.5 mata pada Disember, menunjukkan para pengeluar semakin berhati-hati dengan prospek perniagaan. Ia mendorong peralihan kepada aset berkualiti, dengan itu, menjadikan dolar US lebih menarik sebagai aset selamat,” katanya kepada Bernama.

Begitu juga, katanya, PMI Malaysia turut merosot kepada 46.8 mata pada Disember dan kekal berada di bawah garis had 50 mata untuk tiga bulan berturut-turut.

Ini bermakna pengeluaran akan terjejas berikutan kalangan perniaga mungkin mahu memastikan inventori mereka rendah dan menerusi perluasan, perbelanjaan modal dan pengambilan tenaga kerja akan dipastikan pada tahap minimum, katanya.

Semasa dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.8474/8522 daripada 3.7950/7997 semasa ditutup pada Rabu dan lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0327/0367 daripada 3.0331/0371.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.2032/2099 daripada 5.2473/2540 dan menokok berbanding euro kepada 4.7028/7082 daripada 4.7275/7334 semasa ditutup pada Rabu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :