EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

 

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan harga minyak mentah dunia yang lemah menjejaskan sentimen belian ke atas mata wang tempatan.

Pada 9.10 pagi, ringgit berada pada 4.1200/1250 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1150 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Peniaga berkata, harga minyak mentah global susut disebabkan kebimbangan berlakunya permintaan lembap pada masa akan datang berikutan konflik perdagangan antara AS dan China yang dijangka menjejaskan pertumbuhan global.

“Harga minyak mentah yang rendah dilihat negatif bagi ringgit memandangkan ia akan memberi kesan kepada hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa turun 0.2 peratus kepada US$62.64 setong manakala niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) merosot 0.1 peratus kepada US$53.70 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0303/0351 daripada 3.0303/0362 pada Jumaat lepas tetapi rendah berbanding euro pada 4.6832/6893 daripada 4.6817/6890.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun ke 3.7602/7654 daripada 3.7606/7659 selain naik berbanding pound Britain kepada 5.3099/3180 daripada 5.3315/3396.

– BERNAMA

 


Pengarang :