EKONOMIRinggit

Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pada hari dagangan pertama tahun baharu, hari ini.

Ia susulan dolar AS kekal tinggi selepas mengakhiri 2018 dengan prestasi tahunan paling kukuhnya, dalam tempoh tiga tahun.

Pada jam 9.02 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1330/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 pada paras penutup Isnin.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga kekal berhati-hati terhadap ringgit, dalam keadaan persekitaran luaran yang agak lemah.

Katanya, ia termasuk pengumuman Indeks pengurusan Pembelian Pembuatan China yang jatuh di bawah 50 mata pada Disember 2018, penutupan sebahagian operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan serta ketidakpastian tentang perbincangan rasmi AS-China mengenai pertikaian perdagangan pada bulan ini.

“Barangkali, pelabur asing mungkin perlu melihat nilai yang muncul dalam ringgit selepas menyaksikan aliran keluar pada 2018.

“Bagaimanapun, tiada sebab yang kuat untuk ringgit kekal kukuh memandangkan persekitaran luaran yang tidak menentu,” katanya kepada BERNAMA.

Secara teknikalnya, beliau berkata, ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual dan biasanya akan menyaksikan lantunan semula dalam tempoh terdekat.

“Ringgit dijangka bergerak ke arah paras sokongan yang ketika ini berada pada RM4.1197,” katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali dolar Singapura.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.7696/7734 daripada 3.7488/7543 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.7348/7386 daripada 4.7227/7300.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.2683/2742 daripada 5.2600/2684 tetapi tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0301/0334 daripada 3.0310/0358.

 


Pengarang :