NASIONAL Ringgit

Ringgit tinggi berbanding dolar AS pada dagangan awal

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi dagangan awal hari ini apabila harga minyak global yang bertambah baik meningkatkan sentimen pasaran terhadap unit tempatan.

Pada jam 9.21 pagi, ringgit berada pada 4.1150/1200 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1200 semalam.

Seorang peniaga berkata, harga minyak AS meningkat melebihi US$50 setong berikutan jangkaan Washington dan Beijing akan mencapai penyelesaian dalam pertelingkahan perdagangan mereka.

“Niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) naik 36 cents kepada US$50.14 setong manakala penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent masih belum didagangkan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain di mana ia meningkat kepada 5.2425/2509 daripada 5.2537/2608 pada penutup semalam.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0359 daripada 3.0287/0328, susut berbanding yen kepada 3.7825/7882 daripada 3.7803/7843 dan lemah berbanding euro kepada 4.7141/7215 daripada 4.7128/7190.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :