BERITA UTAMASELANGOR

RM12.06 juta pembiayaan HIJRAH diserah kepada 1,311 peminjam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Sebanyak RM12.06 juta pembiayaan Hijrah Selangor (HIJRAH) diserahkan kepada 1,311 peserta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu termasuk kepada penyelesaian isu kelewatan pembayaran balik yang berlaku baru-baru ini membabitkan 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara.

“Jumlah ini adalah bukti kepedulian Kerajaan Negeri membantu meringankan beban ditanggung usahawan kecil di Selangor dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan masing-masing.

“Bantuan pinjaman diberikan ini mampu menjadi motivasi kepada usahawan supaya lebih mampan, berdaya saing, progresif, berinovatif serta kreatif dalam mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat global sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, semalam.

Pada masa sama, katanya, beliau percaya dengan iltizam dan jaringan kukuh mampu menjadikan peserta skim HIJRAH menjadi usahawan terkenal sekali gus memberi impak baik kepada Selangor dan Malaysia.

“Sekiranya anda boleh bertahan, kekalkan prinsip ketelusan, kejujuran dan intergriti dalam pengurusan operasi perniagaan, sudah pasti anda mampu mengembangkan ke peringkat lebih jauh,” katanya.

Terdahulu, Yayasan Hijrah Selangor ditubuhkan pada 2015 adalah badan yang dipertanggungjawabkan Kerajaan Negeri bagi mengurus, menyelia dan menyelaras kesemua skim pinjaman mikrokredit.

Pinjaman bersepadu dan efisien itu berkonsepkan “Mudah, Cepat dan Tidak Membebankan” berteraskan falsafah “Pinjaman Asas Simpanan” sekali gus menjadi keunikan kepada HIJRAH membantu usahawan dan peniaga kecil di Selangor.

Ia menjadi penanda aras dalam kerangka usaha bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan peniaga baru di Selangor.


Pengarang :