SELANGOR

RM3.2 bilion dibelanjakan untuk IPR sejak 2008

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Sejumlah RM3.2 bilion sudah dibelanjakan Kerajaan Negeri sejak 2008 bagi melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam mengagihkan hasil negeri menerusi bantuan sokongan kehidupan khusus buat golongan berpendapatan rendah di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kemampuan pentadbiran secara profesional mengekalkan taraf kemajuan Selangor sebagai sebuah negeri maju sejak 2005 sehingga kini menerusi corak pentadbiran berintegriti turut menyumbang kepada keupayaan pelaksanaan IPR.

“Kita menyeimbangkan antara apa yang kita dapat dan agihkan, bagaimana kita agihkan dan kepada siapa kita agihkan. Tiada lagi konsep agihan kepada orang tertentu dan pilih kasih dalam proses pengagihan.

“Dalam soal pengagihan dan menjaga kebajikan, pimpinan kita harus bersifat ‘buta warna’. Maknanya dari segi kaum, agama dan fahaman politik kerana yang perlu dibantu adalah rakyat.

“Soal politik itu harus dibincangkan dalam konteks berbeza. Konsep itulah yang dikatakan adil, memberikan keutamaan kepada yang memerlukan dan kita dapat laksanakan dengan jayanya.

“Jika dahulu ada yang beranggapan tiada kumpulan lain mampu mentadbir, Selangor membuktikan ada kumpulan iaitu Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh mentadbir dengan baik, mengurus dan mengekalkan status negeri maju serta membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya dalam satu wawancara khas menerusi program Bicara Politikonomi bertajuk ‘Hala Tuju Selangor 2019: Maju Bersama’ di TV1.

Amirudin menjelaskan, penjajaran semula IPR seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Selangor 2019 bukan bermaksud menghentikan bentuk bantuan diberikan sebaliknya memperkasa potensi dan memberdaya kemahiran penerima supaya melonjak ke satu tahap lebih baik dari sebelumnya.

Sebagai contoh, program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberikan bantuan bulanan RM200 diteruskan sambil disokong penyusunann peluang pekerjaan supaya penerima tidak bergantung semata-mata kepada bantuan malahan mampu menjana pendapatan lebih besar sekali gus keluar daripada kelompok kemiskinan.

Selain itu, kebersamaan di peringkat negeri dan Persekutuan sekarang susulan kemenangan PAKATAN di Putrajaya bakal memberikan kemudahan khususnya menerusi kerjasama agensi kerajaan supaya rakyat menerima lebih banyak manfaat.


Pengarang :