SELANGOR

Rumah Pam Kepong Estate kembali beroperasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Rumah Pam Kepong Estate yang mengalami masalah gangguan teknikal semalam kembali beroperasi seperti sedia kala, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air juga sedang dipulihkan secara berperingkat di kawasan terjejas, di Kuala Lumpur dan Gombak.

“Proses meningkatkan paras kolam perkhidmatan dan tekanan aliran di sistem agihan sedang giat dilaksanakan bagi mempercepatkan pemulihan di kesemua kawasan terbabit.

“Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki air akan diteruskan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Jalan 23/56, AU3 Keramat, AEON Big Ampang dan berdekatan Rapid KL (LRT) Taman Dagang akan beroperasi sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, beberapa kawasan di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak terpaksa mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran masalah teknikal di Rumah Pam Kepong Estate.

Pada masa sama, Abdul Raof mengharapkan orang ramai supaya memberi kerjasama sepanjang tempoh pemulihan dijalankan.

Justeru, bagi mengelakkan kesesakan talian di Pusat Panggilan, pelanggan dinasihatkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau App Store atau menghantar SMS ke 15300 dengan menaip Tanker <Nama> <Alamat> untuk mendapatkan bantuan air kecemasan melalui lori tangki. Keutamaan akan diberikan kepada pelanggan dan premis-premis kritikal.

Bagi aduan kritikal, boleh Whatsapp ke 019-281 6793/019-280 0919.


Pengarang :