Kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah. Foto SELANGORKINI
SELANGOR

Rumah SelangorKu Taman Bunga Raya Fasa 1 habis dijual

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Projek Rumah Selangorku Fasa 1 (subfasa 1A) di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung yang dibina oleh MK Land Holdings Berhad habis dijual sebelum pelancaran rasmi jualannya, pada 19 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, K Mohanachandran berkata, Projek Rumah Selangorku itu dibangunkan bagi menyahut permintaan ramai untuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.

Katanya, subfasa 1A adalah di antara empat subfasa dan kesemua unit fasa 1A dikenal pasti pemiliknya dan disebabkan permintaan yang amat memberangsangkan.

“Kami ingin membantu rakyat negeri Selangor secara khususnya, untuk memiliki rumah mereka sendiri daripada menyewa.

“Justeru, pendaftaran untuk subfasa fasa 1C juga dibuka Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan.

Mohanachandran berkata, antara faktor utama pembeli memilih rumah itu adalah reka bentuk yang menarik, kos penjimataan binaan disalur semula ke Rumah SelangorKu untuk meningkatkan kualiti rumah, lokasi strategik dan fasiliti yang disediakan selain harga yang murah.

Subfasa 1A itu terdiri daripada 109 unit rumah teres dua tingkat jenis D yang berharga RM250,000 seunit manakala subfasa 1C berjumlah 101 unit rumah teres jenis D juga.

Subfasa 1A ini dijangka siap untuk diserahkan kunci pada Januari 2021.

Keseluruhan 1,385 unit projek Rumah Selangorku itu akan mengambil masa selama lebih kurang tujuh tahun untuk siap sepenuhnya.


Pengarang :