GLOBAL

Rundingan gagal, lebih 3,000 doktor muda mogok

WELLINGTON: Hampir 80 peratus doktor muda yang bertugas di hospital awam New Zealand meninggalkan tugas masing-masing hari ini.

Ia susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung persekitaran kerja dan gaji.

Mogok itu ternyata menjadi tamparan kepada kerajaan Perdana Menteri, Jacinda Ardern terutama dalam usaha melaksanakan janji untuk menyalurkan dana untuk perkhidmatan sosial dan mengekang kepincangan ekonomi ketika mengambil alih jawatan itu pada 2017.

Pertumbuhan gaji yang lembap dan kos sara hidup melampau dipercayai penyebab pekerja terpaksa bergelut.

Tahun lalu, guru sekolah, jururawat dan pegawai mahkamah bertindak tahun lalu demi untuk menuntut kenaikan gaji.

“Mereka mahu mengawal waktu kerja kami, bagaimana kami bekerja dan dimana kami bekerja,” kata Setiausaha Kesatuan Kebangsaan, Dr Deborah Powell.

“Kami cuba untuk menyelesaikan masalah ini tanpa mengadakan mogok tetapi kami tidak diberi pilihan,” katanya.

Pada awal minggu lalu, lebih daripada 3,300 doktor muda daripada 3,700 yang berkhidmat di hospital kerajaan, meninggalkan tugas di hospital dan klinik sebaik saja rundingan dengan kerajaan tidak menemui jalan penyelesaian.

Persatuan Doktor Residen New Zealand (NZRDA) berkata, rundingan sudah diadakan dengan Lembaga Kesihatan Daerah (DHB) selama lebih daripada satu tahun berhubung terma-terma baharu, yang menetapkan pembayaran untuk kerja lebih masa, hujung minggu dan tugas malam.

Susulan kegagalan rundingan membuatkan kesatuan itu mengisytiharkan mogok selama 48 jam pada 29 dan 30 Januari depan, bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan.

– Reuters


Pengarang :