SELANGORSENI

RUSSEL hab seni dan budaya Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JAN: Rumah Seni Selangor (RUSSEL) berpotensi dijadikan hab seni yang mendasari semua disiplin bagi memberdaya dan meningkatkan pelbagai aktiviti kesenian serta kebudayaan, di negeri ini.

Pengarah Pameran Seni Lukis Artis Residensi (AKAR) RUSSEL, Samsuddin Lappo berkata, hab seni itu bukan sahaja meliputi seni visual, bahkan menggabungkan seni penulisan, lukisan kraf, persembahan muzik dan tayangan filem.

“Kita menerima sambutan begitu menggalakkan daripada komuniti setempat dan orang luar yang mahu menyertai bengkel kesenian yang kita adakan secara percuma di rumah seni ini.

“Malah, setiap hebahan di media sosial berkaitan program atau bengkel sampai kepada orang luar, seterusnya menarik minat mereka untuk datang dan melihat sendiri keunikan seni yang terdapat di RUSSEL,” katanya kepada SelangorKini.

Mula dibuka pada April 2018, RUSSEL berperanan sebagai tempat berkumpul penggiat seni untuk menjalankan aktiviti bercorak formal mahupun santai.

Berada di suatu lembah tepian lot sebuah banglo di Petaling Jaya, RUSSEL dihuni tiga pelukis residen yang memulakan gerak langkah ‘bercucuk tanam’ umpama seorang petani yang berbudi kepada bumi.

Perjalanan tiga pelukis residen terbabit iaitu Anasuha Suhairi, Arina Kiswantoh dan Mat Ramli Mansor adalah dengan merentasi proses pemikiran, pengamatan, pendedahan serta pengkajian diperoleh daripada ‘bumi’ seni demi menghasilkan karya unik juga mampu mencuri perhatian umum.

Samsuddin berkata, konsep utama rumah seni itu adalah penyediaan studio yang menjadi tempat bagi pelukis terbabit menghasilkan karya mereka dalam tempoh tertentu.

Katanya, studio itu dilengkapi dengan peralatan lengkap yang membantu proses kreatif pengkarya, selain menyediakan beberapa ruang salon kepada peminat dan penggiat seni.

“Ini adalah pameran kali pertama hasil daripada tiga pelukis berkenaan dan pengambilan seterusnya untuk tiga seniman atau artis baharu adalah pada Februari.

“Mereka akan menghuni di RUSSEL selama enam bulan untuk mengekspresi ilham dan berkarya.

“Selain itu, kita akan mengadakan program sampingam lain setiap bulan sekurang-kurangnya empat bulan misalnya bengkel seni halus dan seni kraf, forum seni seterusnya pameran,” katanya.


Pengarang :