Datuk Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA
NASIONAL

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke Thailand

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bagi menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Chiang Mai, Thailand, hari ini.

Saifuddin turut dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok, pada Sabtu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Thailand merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’ dan sesi permukiman tersebut merupakan mesyuarat berjadual pertama negara-negara anggota ASEAN.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Negeri Thailand itu turut melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Pegawai-Pegawai Kanan dari kesemua negara anggota ASEAN.

“Sesi permukiman yang akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN itu akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan lagi agenda pembinaan Komuniti ASEAN dan susulan pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura tahun lepas.

“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialognya,” kata kenyataan itu.

Semasa di Bangkok, Saifuddin akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala terutamanya mengenai projek infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand.

Selain itu, proses rundingan damai di Selatan Thailand serta isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan kedua-dua negara dalam agenda mampan, akan turut dibincangkan.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuklah perdagangan dan pelaburan, keselamatan dan pertahanan dan juga pelancongan.

“Thailand merupakan rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2017 adalah sebanyak RM98.69 bilion, dengan jumlah perdagangan di sempadan sahaja melebihi 60 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :