SUKANKINI

Saranan MFL suntik semangat Siti Zubaidah teraju PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Saranan dan khidmat nasihat diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menambah keyakinan Siti Zubaidah Abdul Jabar membimbing pasukan PKNS FC, sejak dilantik pada 2014.

Katanya, kaum hawa tidak perlu merasa takut untuk menunjukkan minat membimbing walaupun majoriti pemimpin bola sepak lahir dalam kalangan lelaki.

Beliau juga turut mengajak lebih ramai wanita untuk tampil menunjukkan keupayaan serta kualiti tersendiri.

“Saya masih ingat lagi ketika dilantik sebagai Presiden PKNS FC, saya agak terkejut kerana tidak tahu banyak berkenaan bola sepak negara.

“Pada tahun pertama, ada segelintir pihak boleh cuba ‘goreng’ saya tetapi kini dengan khidmat nasihat dan tunjuk ajar MFL, saya sudah yakin dan berani bahawa pemimpin wanita mampu berikan impak kepada bola sepak tempatan.

“Nasihat saya kepada wanita, jangan takut kerana MFL sentiasa bersama dan memberikan sokongan kepada mereka yang serius untuk membantu bola sepak tempatan,” katanya memetik laporan www.malaysianfootballleague.com.

Bersandarkan hampir lima tahun pengalaman, Siti Zubaidah mengakui tidak lagi menoleh ke belakang walaupun mendedahkan rasa terkejut kerana tidak memiliki pengalaman serta pengetahuan luas dalam sukan nombor satu negara itu.

Pada masa sama, beliau turut memuji pendekatan Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang mengadakan perjumpaan khas di Hotel Thisle, Johor Bharu minggu lalu bersama wakil pasukan negeri dan kelab bagi mendapat gambaran lebih jelas berkenaan isu berbangkit.

“Saya percaya pertemuan ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan MFL dan ahli gabungan, namun sebagai rakan kongsi kami boleh bertanyakan sesuatu secara terus serta jawapan diberikan secara langsung oleh Pengerusi MFL sendiri.

“Seperti saya katakan, kaum hawa tidak perlu lagi rasa takut untuk menjadi pemimpin bola sepak kerana pendekatan dibuat oleh Tunku Ismail memberi nafas baru kepada ahli gabungan untuk berani menyuarakan pandangan,” katanya.


Pengarang :