PENDIDIKANSELANGOR

Sasar 1,000 guru ANIS pada masa akan datang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerajaan Negeri mensasarkan mahu menambah 1,000 lagi bilangan Anak Istimewa Selangor (ANIS) ekoran sambutan yang diterima.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pada masa kini bilangan guru ANIS adalah sejumlah 75 orang yang lahir daripada projek pilot yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, tahun lalu.

“Hasil daripada projek pilot tahun lalu, Kerajaan Negeri melihat impak yang diterima amat positif dan kita komited mahu melahirkan lebih ramai guru ANIS untuk mendidik anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Apabila wujudnya guru ANIS, ia mampu memberi nafas lega kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk menghantar anak mereka ke Taman Asukan Kanak-Kanak (Taska), pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengkaji beberapa aspek bagi menambah bilangan kursus terhadap guru ANIS.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mewujudkan guru ANIS di beberapa Taska di setiap Dewan Undangan Negeri bertujuan mengasuh kanak-kanak OKU.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU kerana terpaksa menghantar anak mereka ke Taska khas yang menelan kos tinggi.

Hasil daripada projek pilot dilaksanakan tahun lalu, seramai 75 guru ANIS dalam kalangan guru Taska sekitar Selangor dipilih untuk melatih mereka bagaimana cara mengasuh dan mendidik kanak-kanak OKU.


Pengarang :