SELANGOR

Sasar 300 pemain muzik cempuling di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JAN: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mensasarkan seramai 300 pemain muzik cempuleng pada Program Simfoni Cempuleng Selangor, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo berkata, pemilihan itu akan dibuat melalui 11 sekolah sekitar Selangor.

“Hari ini, sebanyak 11 sekolah sekitar Selangor terpilih untuk menubuhkan kumpulan cempuleng sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mereka.

“Pada masa sama, kita akan memilih peserta untuk menyertai simfoni itu sekali gus menerapkan minat terhadap kebudayaan dan warisan dalam kalangan generasi masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Alat Cempuleng kepada Sekolah di Selangor di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan acara perasmian oleh EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan merangkap Pengerusi PADAT, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Terdahulu, antara sekolah menerima pinjaman alatan muzik cempuleng itu adalah Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Jemaah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar; SMK Agama Kuala Selangor dan SMK Tengku Ampuan Rahimah.

Selain itu, SMK Sungai Kapar Indah; SMK Jugra, Banting; SMK Sungai Manggis, Banting; Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah, Banting; Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lang, Banting; SMK Dato’ Mustafa, Sabak Bernam dan SK Bukit Bangkong, Sungai Pelek.

Muzik cempuling adalah seni muzik tradisional bagi etnik Jawa dan ia amat popular suatu ketika dahulu sebagai medium yang digunakan bagi menyampaikan ajaran Islam dan nasihat kepada masyarakat.

Kemudian ia dimodenkan dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dan bahasa lain namun masih mengekalkan konsep lagu berunsurkan teladan dan pengajaran.

Usaha memartabatkan muzik cempuling di Selangor sudah bermula sejak 2015 dengan kejayaan bagi catatan Malaysia Book of Records Bermain Muzik Cempuling Selama 25 jam Tanpa Henti yang diadakan di Homestay Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.


Pengarang :