NASIONAL

SDP-Salcra bersama wujud rantaian nilai minyak sawit

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) menjalin usaha sama untuk mewujudkan, memperkukuh dan menggalakkan kerjasama komersial sinergi dalam rantaian nilai minyak sawit.

SDP berkata, kedua-dua pihak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan standard industri minyak sawit Sarawak dari segi keefisienan operasi dan produktiviti menerusi amalan agronomik terbaik.

“Di bawah MoU itu, pasukan SDP dan Salcra mahu menggabungkan sumber dan kepakaran mereka untuk menjalin usaha sama, menilai dan menjalankan penyelidikan dalam perkara berkaitan dengan rantaian nilai minyak sawit dan input agronomik berkaitan dalam bidang tertentu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

SDP berkata, bidang berkenaan termasuk bahan pertanian seperti biji benih dan anak pokok kelapa sawit, penutup anak benih, baja, racun rumput, racun serangga, bahan kimia pertanian dan peralatan pertanian; pengurusan, perkhidmatan konsultan dan latihan berkaitan pembangunan perladangan kelapa sawit, penanaman dan pemprosesan, penanaman baharu dan tanam semula dan amalan baik.

Bidang lain kerjasama adalah perkhidmatan konsultan dalam soal perancangan dan pembangunan kilang kelapa sawit, pengurusan sisa, penapisan, kilang isirung, oleokimia dan aktiviti hiliran lain yang berkaitan dan perkhidmatan analitik makmal.

SDP berkata, turut termasuk dalam MoU itu, sebarang aktiviti lain berkaitan dengan perladangan getah dan perniagaan pertanian yang lain.

– BERNAMA

 


Pengarang :