SELANGOR

Sedia kaji potensi Sungai Buloh sebagai hab floris

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 12 JAN: Kerajaan Negeri sedia mengkaji untuk mengembangkan potensi Sungai Buloh sebagai Hab Floris Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu meneliti potensi di kawasan itu dan beberapa faktor lain seperti aset sedia ada, sebelum langkah seterusnya diambil.

“Jika kluster itu dapat dikembangkan, kita akan lihat potensi, ruang lingkup dan kemudahannya.

“Jika tiada, bolehkah kita tambah atau pindahkan ke tempat lain kerana perbandingan ini yang sedang kita buat kerana kita ingin merancang dalam jangka masa lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Institusi Agama Sempena Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri bagi membangunkan lagi hab floris, di Sungai Buloh.

“Pengisytiharan Sungai Buloh sebagai hab floris sudah dibuat sebelum ini tetapi jika tiada pembangunan berkaitan atau keistimewaannya, maka ia sama sahaja dengan daerah lain,” katanya.


Pengarang :