SELANGOR

Segera bina klinik kesihatan baharu di Pulau Ketam

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 JAN: Pembinaan Klinik Kesihatan di Pulau Ketam perlu disegerakan bagi menggantikan premis sedia ada untuk kemudahan penduduk setempat.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, operasi klinik sedia ada terpaksa berpindah kerana bangunan yang menempatkannya sudah berusia lebih 60 tahun.

“Klinik Kesihatan Pulau Ketam ini disahkan tidak boleh digunakan lagi dan buat masa ini mereka terpaksa menyewa di sebuah premis.

“Saya berharap kerajaan segerakan pembinaan Klinik Kesihatan kerana penduduk terpaksa ke Hospital Klang yang memakan masa lama jika berlaku kecemasan atau apa-apa musibah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Masyarakat di Pulau Ketam di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Selat Klang itu berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Jabatan Kerja Raya berhubung status Klinik Kesihatan terbabit.

“Saya belum tahu bila akan dapat dibina tetapi saya usaha dipercepatkan, saya jangka mungkin setahun atau dua tahun untuk siap,” katanya.


Pengarang :