NASIONAL

Sektor pengangkutan punca harga barang tidak turun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Sektor pengangkutan menjadi antara punca yang mendorong kenaikan harga barangan walaupun harga dunia minyak jatuh, ketika ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan tidak menurunkan caj khususnya membabitkan kos pengangkutan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga perlu mendapatkan pengilang dan pembekal, serta mereka yang berada dalam barisan pengeluaran.

“Situasi harga barangan ini sama seperti kerajaan sebelum ini. Walaupun harga bahan api turun tetapi harga barang tetap sama, malah ada yang naik.

“Sukar untuk kita menjustifikasi kenaikan ini kerana ia membabitkan banyak pihak, antaranya kos pengangkutan seperti lori yang menghantar barang, kadar sewa mereka sudah tentu tidak berubah, walaupun harga minyak turun,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, peniaga tidak tahu harga bahan api pada minggu berikutnya, sekali gus menjadikan harga barang masih sama.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk mengkaji situasi berkenaan bagi membolehkan perkara itu diatasi.

Terdahulu, Mohd Yusof mencadangkan kerajaan menetapkan harga bahan api itu secara bulanan supaya kadar barang dapat diturunkan.

Katanya, kerajaan perlu mendengar pandangan semua pihak supaya pelaksanaan penetapan harga bahan api itu tidak menyusahkan semua pihak.


Pengarang :